Isnin, 4 Jun 2012

Salam Kecemerlangan Untuk Semua.

Assalamualaikum,

     Apa khabar? Kami berharap anda sentiasa berada dalam keadaan baik dan sejahtera. Panitia Kajian Tempatan SK Batu Belah, Klang (SKBB) ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian anda mengunjungi blog ini. Semoga pertemuan dan ikatan persahabatan ini akan berlanjutan sampai bila-bila.

     Blog ini adalah salah satu usaha Panitia Kajian Tempatan SKBB untuk menyalurkan informasi dan ilmu berkaitan mata pelajaran Kajian Tempatan kepada semua pengunjung blog ini,  khususnya buat murid-murid Tahun 4, 5, dan 6 SKBB. Blog ini diharap dapat mengurangkan kekangan masa yang wujud disebabkan masa yang terhad bagi pengajaran mata pelajaran Kajian Tempatan (diajar selama 60 minit seminggu).

     Pembinaan blog ini menepati perancangan yang dibuat oleh Panitia Kajian Tempatan SKBB dalam Pelan Strategi Kajian Tempatan bagi tempoh lima tahun. Kami berhasrat untuk menyampaikan sebanyak mungkin pengetahuan bagi mempertingkatkan pemahaman murid-murid dalam mata pelajaran ini. Guru-guru Kajian Tempatan akan berinteraksi dengan murid-murid melalui blog ini dalam membicarakan aspek isi kandungan pelajaran, latihan, atau lain-lain yang berkaitan. Sudah menjadi matlamat Panitia Kajian Tempatan untuk mempertingkatkan pencapaian dan kecemerlangan akademik murid-murid bagi mata pelajaran ini.

     Kemunculan blog ini juga menjadi wadah untuk mendekat serta membiasakan guru-guru dan murid-murid dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Kemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi merupakan satu keperluan pada masa kini dan akan datang. Kementerian Pelajaran Malaysia turut menyerapkan teknologi maklumat dan komunikasi dalam elemen merentas kurikulum (EMK) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kami yakin bahawa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dapat memberi motivasi dan keseronokan kepada murid-murid untuk belajar.

    Buat sementara waktu, blog ini akan diuruskan oleh seorang guru mata pelajaran Kajian Tempatan. Panitia Kajian Tempatan berhasrat untuk mengadakan kursus dalaman kepada guru-guru Kajian Tempatan tentang cara mengurus dan mengendalikan blog ini dalam masa terdekat.

   Panitia Kajian Tempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak pentadbir SKBB yang sentiasa mendorong dan menggalakkan usaha-usaha ke arah peningkatan pencapaian murid-murid serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Kami juga ingin mengalungkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi semangat, buah fikiran dan bantuan dalam membina blog ini. Semoga blog ini dapat memberi manfaat yang berguna dan positif kepada kita semua.

Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan